Tuesday, August 25, 2009

Ummah boleh capai lebih banyak kejayaan jika bersatu

Gambar Hiasan:"Bertapa Manisnya Hidup jika Umat Islam Bersatu Padu"

PEKAN: Umat Islam mampu mencapai lebih banyak kejayaan apabila bersatu padu dan mengamalkan lebih permuafakatan kerana ia adalah inti pati dan falsafah penting dalam membina tamadun Islam yang gemilang, kata Datuk Seri Najib Razak.

Perdana Menteri berkata, umat Islam pada masa ini perlu mengambil contoh kejayaan umat Islam terdahulu sehingga mampu membina tamadun Islam yang berjaya dan diiktiraf dalam lipatan sejarah kerana perjuangan mereka berasaskan perpaduan dan disiplin yang kuat.

"Namun, apabila perpaduan berkecai dan disiplin longgar menyebabkan umat Islam tewas begitu juga dengan tamadun yang sudah dibina ratusan tahun dahulu.
"Ia kerana umat Islam tidak pentingkan lagi perpaduan dan disiplin iaitu nilai-nilai untuk membina tamadun yang kukuh," katanya berucap pada majlis berbuka puasa dan penyampaian sumbangan peribadi kepada 144 golongan kurang berkemampuan di Masjid At-Taufik di Peramu Tiga, di sini petang semalam.

Hadir sama isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor.

Najib dan Rosmah kemudian turut berbuka puasa bersama lebih 100 penduduk tempatan. Najib yang juga Ahli Parlimen Pekan juga meminta rakyat meningkatkan amalan infaq, iaitu pemberian kebajikan seperti mengeluarkan zakat dan bersedekah sempena Ramadan ini.

"Infaq adalah satu daripada tiang utama kepada konsep ekonomi dalam sistem sosial Islam dengan mengamalkannya dengan baik mampu memberi kejayaan kepada umat Islam," katanya.

Pada majlis berasingan, Najib dan Rosmah turut meluangkan masa untuk bersembahyang sunat tarawih bersama kira-kira 200 penduduk di Taman LKNP, di sini serta menyampaikan sumbangan wang tunai dan hamper kepada 19 orang yang kurang berkemampuan.

Terdahulu, Najib yang berucap pada majlis penyampaian sumbangan kepada wakil daripada 55 masjid dan 153 surau di kawasan Parlimen Pekan, di Dewan Umno, di sini, meminta jawatankuasa masjid dan surau memikirkan pendekatan terbaik bagi menarik minat golongan muda menghayati serta mengikuti pelbagai aktiviti keagamaan di institusi berkenaan. Perdana Menteri berkata, ia juga bertujuan membolehkan kumpulan remaja dan belia tidak hanya pergi ke masjid secara bermusim seperti dalam bulan Ramadan untuk membaca al-Quran atau bersembahyang sunat termasuk bertarawih secara jemaah.

"Sepanjang Ramadan ini kita boleh lihat rumah Allah (masjid) menjadi tumpuan golongan tua dan muda. Oleh itu, terlintas di hati saya adakah keadaan ini dapat dipertahankan selepas tamatnya bulan Ramadan?

"Oleh itu, penting bagi kita dan jawatankuasa masjid dan surau dapat memikirkan serta mengambil langkah untuk memastikan golongan muda datang ke masjid untuk menghadiri majlis keagamaan selepas ini. Kita tidak mahu selepas Ramadan, masjid dan surau sepi," katanya.

Beliau berkata, ahli jawatankuasa masjid dan surau mungkin juga boleh mengadakan pelbagai kegiatan dan aktiviti sepanjang bulan bagi menarik minat golongan muda untuk mendekati masjid.

3 comments:

Norawi said...

Bersatu kita teguh,bercerai kita roboh dah cukup jelas untuk menyatakan segalanya.Kedua,Semoga mengimarahkan masjid tidak hanya bulan puasa sahaja.Masjid juga adalah tempat bermesyuarat.

kelambuharimau said...

kambing nak dikorbankan ok..jangan bangsa agama di korbankan udah

PUTERI SENJA said...

Terima kasih Norawi dan Kelambuharimau... janagnmengaum yaaa!
Salam Ramadan dan selamat menunaikan Ibadah puasa.