Tuesday, October 27, 2009

Pembantu rumah Indonesia didera meninggal dunia

Isnin Oktober 26, 2009 Pembantu rumah Indonesia didera meninggal dunia KLANG: Pembantu rumah warga Indonesia, yang ditemui separuh pengsan dengan kesan lebam dan luka hampir seluruh badan, dipercayai didera oleh majikannya di dalam tandas sebuah rumah di Taman Sentosa di sini meninggal dunia hari ini.

Mangsa dikenali sebagai Mantik Hani, 36, menghembuskan nafas terakhir kirakira pukul 10 pagi di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) di sini, sejak dimasukkan ke hospital itu Selasa lepas. Pengarah HTAR, Dr Ghazali Hasni Md Hassan, berkata mangsa meninggal dunia selepas didapati tidak bertindak balas dengan rawatan yang diberikan sepasukan doktor pakar. "Mangsa sepatutnya menjalani pembedahan tetapi ia tidak dapat diteruskan disebabkan keadaannya tidak mengizinkan," kata beliau ketika ditemui pemberita di HTAR di sini. Dua pegawai wanita yang mewakili pejabat Kedutaan Indonesia di Malaysia turut berada di HTAR untuk melawat mangsa tetapi membatalkan rancangan itu selepas dimaklumkan wanita berkenaan telah meninggal dunia.

Pembantu rumah terbabit pada 20 Okt lepas ditemui dalam keadaan 'nyawa-nyawa ikan' dipercayai didera, dikurung dalam tandas, kepala dicukur hampir botak dan tidak diberi makan beberapa hari oleh majikannya. Polis menyelamatkan pembantu rumah itu pada pukul 7 petang hari sama selepas menerima laporan mengenai penderaan itu daripada seorang tukang sapu yang bertugas membersihkan kediaman rumah suspek, dan terus menghantar wanita berkenaan ke HTAR untuk mendapatkan rawatan lanjut.

Susulan itu, polis menahan reman majikan pembantu rumah itu, yang bekerja sebagai peniaga pasar dan isterinya untuk membantu siasatan. Lelaki itu menyerah diri kepada polis sehari selepas pembantu rumah itu ditemui dan direman sehingga 28 Okt manakala isterinya direman sehingga esok. Ketua Polis Daerah Klang, Asisten Komisioner Mohamad Mat Yusop berkata dua suspek itu disiasat kini mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh dan pihaknya masih mencari saksi untuk membantu siasatan termasuk ibu majikan dan bekas majikan pembantu rumah itu. "Jenazah mangsa akan dilakukan bedah siasat di HTAR bagi menentukan punca kematiannya," katanya. BERNAMA

.
PANDANGAN PUTERI SENJA


Sudah tiba masanya kerajaan Malaysia perlu menggubal undang-undang yang mengenakan hukuman yang lebih berat ke atas mereka yang terlibat mendera pembantu rumah yang tidak bersalah ini. Hukuman berat termasuk hukuman sebat ke atas pesalah harus dikenakan.

Selain itu hukuman berat harus dikenakan kepada mereka yang mengambil pembantu rumah tanpa permit kerana pekerja tanpa permit inilah yang selalu menjadi mangsa kerana mereka tiada tempat bergantung dan takut lari dari majikan walaupun mereka tertindas dan teraniahya.Pastikan juga pembantu rumah yang berugama Islam tidak diambil bekerja sebagai pembantu rumah kepada majikan yang tidak berugama Islam.

Wednesday, October 7, 2009

Amah didera, dipaksa makan babi. Mana Shahrizat? Mana Muslimah PAS?


KUALA LUMPUR - Seorang wanita warga India yang cuba mengubah nasib dirinya dengan merantau jauh ke negara ini untuk mencari rezeki dengan bekerja sebagai pembantu rumah tidak menduga kehidupannya di sini lebih merana apabila dia didera malah dipaksa makan babi oleh majikannya.

Kejadian malang itu menimpa Aishabeevi, 36 (gambar) , selepas lima hari dia menjejakkan kaki ke rumah majikannya di Taman Gaya Pelangi di Johor Bahru pada 10 Julai lalu sebaik tiba dari Chennai, India. Selain majikannya yang merupakan suami isteri, turut tinggal di rumah tersebut ialah seorang anak pasangan itu dan seorang wanita warga emas.

Aishabeevi, ibu kepada dua anak perempuan berusia 11 dan 13 tahun mendakwa, dia mula didera seperti dipukul, dikurung, dipaksa makan babi selain tidak dibenar bersembahyang pada hari keenam dia bekerja di rumah itu dan ia berlarutan sehingga dia melarikan diri Jumaat lalu. Dia juga mendakwa tidak dibenarkan memakai jubah atau tudung.

Soalan:
1. Kenapa pembantu rumah yang berugama Islam dibenarkan untuk bekerja dan tinggal bersama majikan bukan Islam? Adalah wanita ini mempunyai permit bekerja yang sah? Kenapa agennya memantau dan tidak dipantau?

2. Apa peranan Shahrizat sebagai Menteri yang bertanggungjawab mengenai hal ehwal wanita? Mana Muslimah PAS yang memperjuangkan hukum?

3. Menteri Sumber tak akan melakukan tranformasi mengenai kes ini yang kerap berulang?

KOSMO

Friday, October 2, 2009

AS labur RM146 juta pastikan keselamatan perairan Sabah


SUBANG 1 Okt. - Amerika Syarikat (AS) telah melabur sebanyak RM146 juta bagi memastikan keselamatan di perairan Sabah sejak beberapa tahun lalu. Duta Besar AS ke Malaysia, James R. Keith berkata, komitmen itu membuktikan negara kuasa besar berkenaan bersungguh-sungguh dalam mempromosi keamanan di peringkat global.

"AS telah melatih 1,400 pegawai dan anggota tentera Malaysia sejak 10 tahun lalu dan melabur sebanyak AS$42 juta (RM146 juta) bagi keselamatan perairan di Sabah," ujarnya. Beliau berkata demikian pada sidang akhbar bagi memperkenalkan pasukan aerobatik Thunderbirds dari angkatan udara AS sempena Pameran Udara Subang 2009 di Pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) di sini hari ini.

Hadir sama Panglima Operasi Udara TUDM, Leftenan Jeneral Datuk Seri Bashir Abu Bakar dan ketua pasukan Thunderbirds, Mejar Anthony Mulhare. Menurut kenyataan Angkatan Tentera Malaysia (ATM), AS kini sedang membekalkan beberapa buah radar Inisiatif 1206 secara percuma untuk dipasang secara berperingkat bermula di Bukit Tinagat, Tawau sejak tahun lalu. Selain radar itu, AS juga membekalkan beberapa bot tempur serta aktif menjalankan latihan ketenteraan dengan ATM dari semasa ke semasa.

Kepada satu soalan, Keith menegaskan, kehadiran pasukan tentera AS dalam pelbagai operasi, latihan dan pertunjukan di seluruh dunia adalah bagi mempromosikan 'nilai-nilai Amerika' yang cintakan keamanan. "Ia bukannya untuk menunjukkan kami kuasa dunia atau bersifat unilateral dalam tindak-tanduk kami seperti yang anda katakan," jelasnya. Kata beliau, penglibatan ketenteraan AS dalam sebarang aktiviti di sini adalah bagi memastikan kegiatan ekonomi terus berjalan lancar tanpa ancaman pengganas dan lanun.

Selain itu jelasnya, kehadiran armada-armada negara itu juga membuktikan keakraban hubungan dua hala dengan negara-negara yang dilawati. Dalam pada itu Bashir memberitahu, Pertunjukan Udara Subang 2009 pada Sabtu ini mengambil masa kira-kira empat jam bermula pukul 9 pagi. "Pertunjukan udara secara percuma ini melibatkan lapan pesawat F-16C Thunderbirds dan tiga pesawat tempur paling moden yang berada dalam inventori TUDM iaitu SU-30MKM Sukhoi," katanya.

Tambahnya, dua pesawat Thunderbirds turut melakukan penerbangan di sekeliling menara berkembar Petronas di ibu negara dari Subang bagi tujuan latihan dan menghiburkan orang ramai. Bashir turut mengesahkan kehadiran pesawat pengebom B-52 milik AS pada Pameran Udara dan Maritim Antarabangsa Langkawi (LIMA) 2009 pada Disember ini.