Tuesday, October 27, 2009

Pembantu rumah Indonesia didera meninggal dunia

Isnin Oktober 26, 2009 Pembantu rumah Indonesia didera meninggal dunia KLANG: Pembantu rumah warga Indonesia, yang ditemui separuh pengsan dengan kesan lebam dan luka hampir seluruh badan, dipercayai didera oleh majikannya di dalam tandas sebuah rumah di Taman Sentosa di sini meninggal dunia hari ini.

Mangsa dikenali sebagai Mantik Hani, 36, menghembuskan nafas terakhir kirakira pukul 10 pagi di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) di sini, sejak dimasukkan ke hospital itu Selasa lepas. Pengarah HTAR, Dr Ghazali Hasni Md Hassan, berkata mangsa meninggal dunia selepas didapati tidak bertindak balas dengan rawatan yang diberikan sepasukan doktor pakar. "Mangsa sepatutnya menjalani pembedahan tetapi ia tidak dapat diteruskan disebabkan keadaannya tidak mengizinkan," kata beliau ketika ditemui pemberita di HTAR di sini. Dua pegawai wanita yang mewakili pejabat Kedutaan Indonesia di Malaysia turut berada di HTAR untuk melawat mangsa tetapi membatalkan rancangan itu selepas dimaklumkan wanita berkenaan telah meninggal dunia.

Pembantu rumah terbabit pada 20 Okt lepas ditemui dalam keadaan 'nyawa-nyawa ikan' dipercayai didera, dikurung dalam tandas, kepala dicukur hampir botak dan tidak diberi makan beberapa hari oleh majikannya. Polis menyelamatkan pembantu rumah itu pada pukul 7 petang hari sama selepas menerima laporan mengenai penderaan itu daripada seorang tukang sapu yang bertugas membersihkan kediaman rumah suspek, dan terus menghantar wanita berkenaan ke HTAR untuk mendapatkan rawatan lanjut.

Susulan itu, polis menahan reman majikan pembantu rumah itu, yang bekerja sebagai peniaga pasar dan isterinya untuk membantu siasatan. Lelaki itu menyerah diri kepada polis sehari selepas pembantu rumah itu ditemui dan direman sehingga 28 Okt manakala isterinya direman sehingga esok. Ketua Polis Daerah Klang, Asisten Komisioner Mohamad Mat Yusop berkata dua suspek itu disiasat kini mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh dan pihaknya masih mencari saksi untuk membantu siasatan termasuk ibu majikan dan bekas majikan pembantu rumah itu. "Jenazah mangsa akan dilakukan bedah siasat di HTAR bagi menentukan punca kematiannya," katanya. BERNAMA

.
PANDANGAN PUTERI SENJA


Sudah tiba masanya kerajaan Malaysia perlu menggubal undang-undang yang mengenakan hukuman yang lebih berat ke atas mereka yang terlibat mendera pembantu rumah yang tidak bersalah ini. Hukuman berat termasuk hukuman sebat ke atas pesalah harus dikenakan.

Selain itu hukuman berat harus dikenakan kepada mereka yang mengambil pembantu rumah tanpa permit kerana pekerja tanpa permit inilah yang selalu menjadi mangsa kerana mereka tiada tempat bergantung dan takut lari dari majikan walaupun mereka tertindas dan teraniahya.Pastikan juga pembantu rumah yang berugama Islam tidak diambil bekerja sebagai pembantu rumah kepada majikan yang tidak berugama Islam.

No comments: