WALAUPUN masjid diarah tutup semalam, penduduk Islam di Urumqi tetap berkumpul dan merayu supaya membolehkan mereka solat Jumaat. Tak semua masjid ikut perintah.
URUMQI: Masjid di bandar ini yang dilanda rusuhan diarahkan ditutup untuk solat Jumaat akibat keganasan etnik yang mengorbankan sekurang-kurangnya 156 orang, kata seorang pegawai sementara pihak berkuasa di sebuah bandar lain di barat China di Xinjiang, menghalau warga asing. Bagaimanapun, ada masjid membenarkan jemaah masuk bagi menunaikan solat Jumaat, manakala anggota keselamatan menyuraikan protes kecil selepas sembahyang di sebuah masjid lain.
Ada juga laporan mengatakan, 10,000 penduduk Islam keluar dari Urumqi setiap hari sejak kekacauan meletus. Solat Jumaat adalah kemuncak bagi minoriti Islam Uighur menyebabkan pihak berkuasa China cuba mengehadkannya dalam cubaan jelas menghalang mana-mana perjumpaan besar-besaran di masjid. "Bagi kepentingan keselamatan awam semua masjid memberitahu penduduk tiada solat Jumaat dan mereka perlu tinggal di rumah dan bersolat Zuhur," kata pegawai di masjid Yang Hang di pinggir bandar ini. Katanya, beliau adalah kakitangan kerajaan namun enggan dikenali.
Di luar sebuah masjid yang mempunyai kubah emas dan dua menara, penduduk membaca notis ditulis pada kertas putih membatalkan solat Jumaat. Seorang wanita Uighur pertengahan umur yang enggan dikenali berkata beliau fikir masjid itu akan terus dibuka. "Tidak perlu menutupnya kerana sesiapa saja yang masuk ke dalam adalah seorang Islam. Ia akan selamat," katanya. "Kami seperti tidak berkuasa," tambahnya. Berhampiran, seorang wanita tua China Han mengganggu seorang wartawan asing sebelum beliau dapat bercakap dengan dua wanita tua Uighur berpakaian baju tradisional panjang dan tudung kepala. "Masjid itu perlu ditutup kerana kerosakan yang berlaku," kata wanita China Han dengan suara kuat. "Ia adalah tindakan patriotik bagi masa depan etnik," katanya. - AP
No comments:
Post a Comment