Monday, July 13, 2009

VAKSIN SELESMA BABI H1N1

Tiga firma rebut pasaran lumayan -Malaysia antara 30 negara yang berminat membuat tempahan awal vaksin H1N1

Tiga buah firma farmaseutikal gergasi dunia kini bersaing hebat menghasilkan vaksin selesema babi atau H1N1 dengan lebih 3 0 negara sudah menyatakan minat untuk mendapatkan bekalan terawal. Antara negara itu ialah Malaysia yang sehingga semalam sudah mempunyai 671 kes jangkitan wabak tersebut. Kosmo! Ahad difahamkan, daripada tiga firma itu, Novartis yang berpangkalan di Switzerland menjadi pilihan banyak negara.

Dua lagi pesaingnya ialah GlaxoSmithKline (GSK) dan Baxter International Inc. Ketiga-tiga firma itu menjangkakan bekalan pertama vaksin dipasarkan dalam masa terdekat. Novartis berjaya menghasilkan vaksin fasa pertama beberapa minggu lebih awal daripada jadual dengan menggunakan teknologi berasaskan sel sekali gus membolehkan kadar pengeluaran disegerakan tanpa perlu membiakkan virus untuk ujian seperti mana dilakukan sebelum ini.

Syarikat itu dalam laman webnya mendakwa sudah menerima tempahan dari 30 negara. Pada masa yang sama, GSK turut membangunkan vaksin di beberapa lokasi di Kanada dan Jerman manakala Baxter mengumumkan ujian dan penilaian vaksin telah siap dan kini dalam proses pengeluaran. Menurut syarikat berkenaan yang beribu pejabat di Austria, vaksin itu akan dapat digunakan dalam masa terdekat.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai ketika dihubungi semalam bagaimanapun belum dapat mengesahkan vaksin pilihan Malaysia memandangkan ia masih lagi di peringkat kajian.


DARI KOSMO.

No comments: